Sunday, September 28, 2008

ISLAM: WAY OF LIFE


ISLAM: WAY OF LIFE

Di zaman yang sedang pesat membangun, semestinya kemajuan yang akan diutamakan. Pembangunan yang pesat sejajar dengan saranan daripada pihak kerajaan yang pernah melaungkan slogan Dasar Pandang Ke Timur telah menjadikan Negara kita sebagai sebuah Negara yang dikenali, bukan sahaja di rantau ini bahkan di seluruh dunia. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh kerajaan sejak 51 tahun Negara kita merdeka.

Namun begitu, pembangunan yang sedang berlaku ini hanya berlaku dalam segenap aspek. Pembangunan yang dilakukan tidak menyeluruh seperti apa yang diperkatakan. Apa yang penulis ingin bawakan ialah pembangunan yang berlaku hanya dalam aspek materialistik semata-mata. Akan tetapi, pembangunan dari sudut akhlak dan ruhiyyah diketepikan. Menagapa ini boleh terjadi? Mengapakah pembangunan ini tidak berteraskan Islam sebagai ad-deen?

Ikhwan yang dirahmatai Allah,

Jika kita meneliti nas-nas yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis, jelas sekali bahawa Allah telah menjadikan agama ini sempurna. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah Ta’ala telah mememrintahkan kepada manusia agar menganut agama ini (Islam) secara keseluruhannya. Firman Allah dalam ayat 208 surah Al-Baqarah, mafhumnya;

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana ia (syaitan itu) musuh kamu yang nyata.

Dalam ayat ini, Allah menyuruh hamba-Nya agar melaksanakan seluruh syariat Islam itu sendiri. Menurut Tafsir Ibnu Katsir, Imam Ibnu Katsir menukilkan bahawa Ikrimah menyatakan, ayat ini mengisahkan sebahagian orang yahudi yang telah masuk Islam tetapi ingin mengerjakan sebahagian daripada syariat Taurat yang biasa dilakukan seperti I’tikaf pada hari Sabtu. Maka Allah menyuruh menegakkan semua syariat Islam. Menurut Tafsir Al-Jalalain, kalimah كافة yang membawa maksud keseluruhannya ditafsirkan sebagai keseluruhan syariat Islam itu sendiri. Antara syariat yang terkandung dalam Islam ialah dari segi Aqidah, Ibadah, Akhlak, Munakahat, Jenayah, Muamalat dan Ekonomi. Ini bermaksud undang-undang atau ketetapan yang dibawa oleh Islam itu sendiri sudah cukup cantik untuk diikuti.

Sebuah hadis Nabi S.A.W menyatakan tentang ad-deen:


ان الدين يسر ولن يشاد الدين أحد الا غلبه...

Mafhumnya:
Sesungguhnya Agama itu mudah. Tiadalah (akibat) seseorang yang memberatkan agama melainkan dia sendiri akan mengalami kesukaran kerananya (agama)…

Menurut pandangan dan pendapat para ulama’, ad-deen yang dimaksudkan dalam Hadis di atas boleh di sama ertikan dengan cara hidup. Apabila bercakap mengenai cara hidup, ianya amat berkaitan dengan kehidupan harian seorang manusia. Ianya bermula seawal seseorang itu bangun dari tidurnya, hinggalah dia kembali memejamkan mata. Dan jika kita meneliti beberapa nas daripada Al-Quran, kita akan mendapati bahawa hanya agama yang diredhai Allah hanyalah Islam. Maka, bagaimanakah kita mampu menyisihkan agama dari kehidupan?

Ikhwah yang dirahmati Allah,

Jika kita menelusuri situasi yang terjadi pada saat dan ketika ini, dasar-dasar sekularisme dijadikan panduan mengatasai Al-Quran dan Hadis yang bersesuaian dengan setiap zaman. Manusia pada hari ini menggubal undang-undang menurut hawa nafsu mereka. Jika mereka merasa tidak menepati dengan citarasa, mereka akan mengubah. Dasar sekularisme yang diperkenalkan oleh seorang pengkhianat Islam, Kamal at-tartuk telah menyebabkan runtuhnya Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924. Mereka hanya menjadikan agama itu hanya sekadar di masjid-masjid dan surau-surau. Perang saraf yang dibawa oleh Yahudi telah berjaya meracuni pemikiran ummat manusia pada hari ini. Mereka telah berjaya memisahkan agama dari kehidupan.

Sebagai contoh, pada hari ini kita dapat melihat kedapatan manusia yang hanya menjadikan ulama’ itu sebagai rujukan dalam hal-hal yang tertentu sahaja. Dalam hal yang berkaitan masalah agama, hal yang berkaitan tentang halal dan haram makanan sahja, hal yang berkaitan dengan sah atau batalnya sesuatu ibadah sahaja. Di manakah terletaknya peranan ulama’ sebagai pewaris para Nabi? Dalam aspek ekonomi, politik atau hal-hal yang berkaitan dengan profesionalisme, mereka tidak menjadikan ulama’ itu sebagai tempat rujukan. Dalam aspek politik contohnya, ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa agama dan politik tidak boleh disatukan, Maka bagaimanakah halnya ketika Negara Islam pertama yang ditubuh dan hal itu termaktub dalam catatan sirah. Bagaimana pula halnya Rasulullah menjadikan perlembagaan yang pertama (sohifah madinah) selari dengan citarasa Islam dan hal ini diakui oleh ramai cerdik pandai yang mengatakan perlembagaan ini adalah perlembagaan yang terbaik. Tidakkah Rasulullah menjadikan Islam itu sebagai cara hidup? Atau apakah kita hanya mengikut sebahagian daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah?

Ikhwah yang dirahmati Allah,

Dalam sebuah hadis Rasulullah pernah bersabda, mafhumnya;

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selamanya jika kamu berpegang kepadanya; Kitabullah dan Sunnahku

Dalam mafhum hadis di atas, Rasulullah menyatakan bahawa manusia tidak akan sesat jika mereka terus berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Pernyataan ini jelas membuktikan kepada kita bahawa perlembagaan yang paling tinggi adalah nas yang bersumberkan Allah dan Rasul-Nya. Jika kita tidak berpegang kepadanya, nescaya kita adalah orang yang mengingkari hal ini (Na’uzubillah). Kebenarannya jelas terbukti apabila seorang ahli parlimen British pernah menyatakan dalam persidangan mereka pada tahun 1870 bahawa, selagi mana kitab ini (Al-Quran) menjadi pegangan kaum muslimin, maka selagi itulah Yahudi tidak akan berkuasa. Bermula dari saat itu jugalah, pelbagai serangan mula dilakukan. Serangan yang dilancarkan kebanyakan tertumpu kepada perang saraf dengan tujuan melemahkan ummat Islam. Antaranya, gejala hedonisme yang disebarkan oleh mereka ternyata telah melemahkan kebanyakan pemuda Islam yang ada pada hari ini. Contoh yang jelas apabila kita melihat sambutan merdeka atau sambutan tahun baru, ternyata hiburan yang keterlaluan yang menjadi ‘juadah’ para pemuda dan pemudi dan mereka mengakhiri malam tersebut dengan pesta seks. Inilah yang diinginkan oleh musuh-musuh Islam, menjadikan Al-Quran itu jauh daripada ummat Islam. Dan perkara ini dapat melemahkan ummat Islam, sekaligus menjadikan musuh bertambah kuat.

Ikhwah yang dirahmati Allah,

Sebagai penutup, penulis ingin menagajak para ikhwah sekalian untuk merenung kembali detik-detik kegemilangan Islam yang pernah menaungi dua pertiga dunia satu ketika dahulu. Kejayaan Ibnu Sina, Ibnu Battutah, dan para cendekiawan Islam yang lain berpunca dengan menjadikan Islam sebagai pegangan dan cara hidup mereka. Ayuh ikhwah sekalian! Kita ambil semangat ini untuk melangkah ke hadapan, melangkah dengan langkahan sang pejuang yang berpaksikan Islam sebagai cara hidup, dengan satu tujuan. Untuk menobatkan Islam di persada dunia… Allahu Akbar!!!


created by: ikhwan hafiz


No comments: